UMNO menzahirkan rasa kesal susulan tindakan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman keluar dari UMNO.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan tersebut tidak wajar dilakukan apatah lagi beliau dipilih sebagai wakil rakyat atas kepercayaan rakyat dan ahli UMNO.

"Kita perlu mempunyai sikap yang ikhlas dan memiliki daya juang yang tinggi dalam memastikan kesinambungan perjuangan parti.

"Meninggalkan UMNO ketika parti sedang diuji, bukanlah sikap terpuji dan boleh diteladani.

"Islam mendidik kita agar taat selagi mana kita tidak menyalahi apa yang dikehendaki oleh syarak," memetik kenyataan yang dikeluarkan beliau hari ini.

Tambah beliau, isu ini tidak melemahkan dan melumpuhkan UMNO tatkala parti itu memerlukan pemimpin yang setia untuk ia terus hidup.

"Biarlah yang setia kepada semangat perjuangan sahaja yang tinggal bersama UMNO. Dengan itu, parti dan segala rancangannya akan lebih mudah ditadbir serta berjalan dengan baik.

"Bagaimanapun dalam senario sedemikian, UMNO mengambil pendirian menerima keputusan mereka dan menghormatinya.

"Kita ucapkan selamat maju jaya. Semoga jalan pilihan mereka akan memberi kepuasan buat diri mereka," katanya.

Justeru, beliau meminta ahli UMNO untuk bertenang, merapatkan saf dan berusaha bersama-sama agar UMNO bangkit semula sebagai parti yang kukuh di negara ini.