Sembilan lelaki, termasuk tiga warga asing, ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang wanita yang mayatnya ditemukan di tepi jalan di Pandan Indah dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Noor Azmi Yusoff berkata kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 49 tahun ditahan dalam operasi berasingan yang bermula jam 10 malam pada Khamis dan berakhir pada 2 pagi Jumaat di Seri Kembangan, Serdang; SEA Park, Petaling Jaya dan Sungai Jarum, Kuala Langat.

“Semakan mendapati empat daripada suspek pernah ditangkap atas kesalahan dadah," katanya.

Beliau berkata semua suspek ditahan susulan laporan yang diterima daripada pembantu perubatan Hospital Ampang berhubung penemuan mayat wanita warga asing berusia 28 tahun di tepi jalan di Pandan Indah pada kira-kira 8.30 malam.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di tepi jalan dengan berpakaian lengkap tanpa kasut.

“Pemeriksaan mendapati kesan lebam pada leher serta tulang selangka sebelah kanan dan beberapa kesan lebam di bahagian tubuhnya,” menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Siasatan awal mendapati mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dibuang di lokasi mayatnya ditemukan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan proses bedah siasat akan dijalankan pada Sabtu sebaik selesai ujian COVID-19.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA