Kadar penembusan internet berkelajuan tinggi di Selangor dijangka dapat 100 peratus dicapai menjelang 2025 berbanding sekitar 60 peratus ketika ini.

Pengarah Urusan Smartsel Sdn Bhd (Smartsel), Mohd Suhaimi Mohd Tahir berkata pembangunan kemudahan internet akan diperhebat terutama di luar bandar dan kawasan yang masih tidak mempunyai capaian itu selaras visi kerajaan negeri untuk muncul Negeri Pintar menjelang 2025.

"Kami akan meluaskan perkhidmatan jalur lebar dan hotspot wifi di seluruh negeri khususnya di luar bandar," katanya kepada Bernama News Channel di sini, pada Jumaat.

Syarikat itu, katanya akan memperluas kawasan hotspot wifi kepada 4,400 kawasan menjelang akhir tahun ini berbanding 3,911 kawasan pada masa sekarang.

Katanya, pengguna berdaftar dengan Wifi Selangorku juga dijangka meningkat kepada 1.2 juta menjelang akhir tahun ini berbanding 1.1 juta pada masa ini.

Smartsel ialah anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) yang membangun dan mengurus infrastruktur telekomunikasi di Selangor.

Syarikat tersebut bertanggungjawab membangun platform, aplikasi dan perkhidmatan digital utama yang akan mempercepat transformasi digital negeri Selangor dan industrinya.

-- (BERNAMA)