Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah disoal siasat selama tiga jam berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Menara KPJ, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau yang juga bekas Presiden UMNO dan bekas Pengerusi Barisan Nasional, tiba di bangunan yang menempatkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM itu kira-kira pujul 9.40 pagi tadi.

Wakil media yang berkumpul seawal pukul 8 pagi di lobi menara, hampa apabila dimaklumkan Ahli Parlimen Pekan itu telah meninggalkan kawasan berkenaan sekitar pukul 1 petang mengikut jalan belakang.

Perkara itu disahkan oleh Presiden Badan Pemantau Malaysia, yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, yang turut berada di situ bersama sekumpulan individu untuk memberi sokongan kepada Najib.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] 1MDB Najib di PDRM, Rosmah pula ke SPRM

Sebelum ini media difahamkan bahawa siasatan dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau kini sedang menghadapi 21 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, melibatkan dana RM2.6 bilion berkait kes 1MDB.