Jutaan terima kasih. Kami sangat menghargai bantuan anda semua!, kata Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong sebagai tanda penghargaan terhadap usaha pihak berkuasa dan sukarelawan Malaysia mencari dan menyelamatkan dua warga Singapura yang hilang di Gunung Pulai, Johor.

"Pihak berkuasa Malaysia telah mengerahkan tenaga kerja dan sumber yang agak banyak bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya dalam catatan di Facebook beliau.

Dua pendaki itu, Dominick Tan dan Clarice Lum Jie, dilaporkan hilang di Hutan Simpan Gunung Pulai di Kulai, sejak Isnin dan ditemukan selamat di Empangan Ulu Choh di Pontian pada Rabu.

"Terima kasih banyak-banyak kepada Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulai Mohd Khairi Zainudin, pasukan mereka serta pasukan Singapura di lapangan, bagi usaha mereka dalam operasi itu.

"Terima kasih tidak terhingga juga kepada sukarelawan daripada kedua-dua pihak yang menyertai usaha menyelamat walaupun tidak mengenali kedua-dua pendaki secara peribadi. Jutaan terima kasih. Kami sangat menghargai bantuan anda semua!," tulisnya yang sebahagiannya dalam bahasa Melayu.

Lee berkata beliau "berasa lega" kedua-dua pendaki itu telah dijumpai.

"Kedua-duanya akhirnya berjaya dikesan oleh helikopter penyelamat pada pagi ini (Rabu), diambil oleh bot penyelamat dan kini mereka dalam perjalanan pulang ke tanah air," tulis Lee.

BACA: Dua warga Singapura hilang di Gunung Pulai, usaha mencari diteruskan

BACA: Dua warga Singapura sesat di Gunung Pulai, ditemui selamat


Dominick dan Clarice, kedua-duanya berumur 27 tahun, dijumpai pasukan SAR pada 11.24 pagi, kira-kira 50 kilometer dari lokasi terakhir mereka dikesan selepas menerima panggilan kecemasan di talian 999 pada Isnin.

Pendaki berkenaan dilaporkan masuk ke kawasan Gunung Pulai pada 12.15 tengah hari Isnin dan membuat panggilan kecemasan kepada pihak berkuasa pada 5.55 petang hari yang sama.

Kali terakhir mereka dapat dihubungi pada kira-kira 10 malam.

Kedua-dua mereka dikesan di sebuah tasik berhampiran empangan itu menerusi alat pengesan dari udara helikopter pasukan Polis Diraja Malaysia.

-- BERNAMA