Kementerian Kesihatan mensasarkan jumlah perbelanjaan RM1.3 bilion oleh pelancong kesihatan di hospital dalam negara sepanjang tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata sasaran itu lebih tinggi berbanding jumlah perbelanjaan RM900 juta yang dicatatkan pada 2015.

Katanya, ia merupakan sektor penyumbang utama kepada industri pelancongan di negara ini.

"Tahun lepas, jumlah perbelanjaan oleh pelancong kesihatan dalam hospital adalah RM900 juta. Tahun ini kami mahu jumlah itu mengatasi RM1 bilion," kata Dr Subramaniam pada sidang media selepas berucap pada Forum Penjagaan Kesihatan 2016 di sini pada Selasa.

Katanya, di sebalik persaingan dari negara lain di ASEAN, kerajaan menerusi Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) akan terus berusaha mempamerkan Malaysia sebagai destinasi pelancong kesihatan.

"Kerajaan melalui MHTC, telah mengambil langkah untuk mempamerkan Malaysia sebagai negara di mana kita boleh dapat rawatan bermutu tinggi dengan kos yang berpatutan," kata Subramaniam.

Sementara itu, beliau mengalakkan sektor swasta untuk memainkan peranan dalam menarik pelancong kesihatan ke Malaysia.

Jelasnya, kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta bagi menggiatkan operasi MHTC dalam membantu sektor swasta mempromosi pelancongan kesihatan.

Tahun lalu, Malaysia menjadi destinasi utama kepada lebih 850,000 pelancong kesihatan dari Indonesia, Bangladesh, termasuk dari rantau Asia Barat dan Eropah.