Sekolah aliran bahasa Inggeris tertua di Asia Tenggara, Penang Free School (PFS) telah dianugerahkan status warisan oleh Jabatan Warisan Negara.

Pengerusi Lembaga Pengelola PFS Datuk Abdul Rafique Abdul Karim berkata beliau mendapat tahu tentang perkara itu pada 2 Feb apabila seorang daripada Old Frees (bekas pelajar sekolah) menghubunginya untuk berkongsi berita gembira itu.

Beliau berkata ini merupakan pencapaian besar bagi Penang Free School, yang juga 'alma matter' bagi ramai tokoh penting negara, apabila diberikan status warisan.

"Ini benar-benar detik yang menggembirakan bagi kami, "Old Frees" dan semua pihak yang melakar kejayaan ini. Saya difahamkan bahawa Jabatan Warisan Negara akan menghantar surat rasmi kepada pihak sekolah tidak lama lagi," kata beliau kepada Bernama.

Beliau menambah bahawa apa-apa pengubahsuaian atau perubahan tambahan kini perlu mengikut garis panduan warisan.

Pada 2 Feb, Jabatan Warisan Negara mewartakan sekolah itu, yang dibina di kawasan seluas lapan hektar terletak di Jalan Masjid Negeri di sini, sebnagai tapak warisan negara bersama Masjid Alwi di Kangar, Perlis.

Notis penetapan tapak sebagai tapak warisan adalah bertarikh 18 Jan dan bertandatangan oleh Pesuruhjaya Warisan Datuk Dr Zainah Ibrahim bagi "Lot 2738, Seksyen 6, Penang Free School, George Town" yang menjadi milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Notis itu menyebut bahawa pesuruhjaya tidak menerima sebarang bantahan terhadap penetapan itu dan bahawasanya keizinan pihak berkuasa negeri mengikut Seksyen 30 Akta Warisan Kebangsaan juga telah diperoleh.

Bagaimanapun, Abdul Rafique berterima kasih kerana kerajaan persekutuian telah meluluskan geran bernilai RM4 juta untuk sekolah itu menjalankan kerja-kerja penyelenggaraannya dan memelihara bangunan kolonialnya yang lama sebelum sekolah itu meraikan sambutan ulang tahun ke-200 pada 2016.

"Geran itu membolehkan kami menaik taraf sekolah dengan berwajah baharu selepas dicat, menukar paip baharu dan juga menggantikan rasuk yang telah usang," kata beliau.

Sekolah ini mula-mula diasaskan oleh Rev. Robert Sparke Hutchings di Love Lane pada 21 Okt, 1816, sebelum berpindah ke Farquhar Street dan kemudian ke lokasi sekarang di Jalan Masjid Negeri (dahulu Green Lane).

PFS yang sekarang berusia 202 tahun juga telah telah melahirkan ramai tokong terkemuka negara seperti Raja Perlis yang pernah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin, Perdana Menteri pertama dan orang yang memimpin negara mencapai kemerdekaan Tunku Abdul Rahman; pelakon, penyanyi, pengarah, serta komposer tersohor negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee; Ketua Menteri Pulau Pinang yang kedua Tun Dr Lim Chong Eu, Ketua Hakim pertama Singapura Wee Chong Jin dan belas Pengarah Urusan DRB Hicom Bhd Tan Sri Mohd Khamil Jamil.

-- BERNAMA