Kerajaan negeri Melaka akan mengambil perhatian serius terhadap 19 buah sekolah di negeri ini yang tersenarai dalam 402 sekolah hotspot di seluruh Malaysia yang mempunyai masalah disiplin dan dadah.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata, tindakan penyenaraian oleh Kementerian Pendidikan dilihat wajar kerana semua pihak dapat memberi perhatian yang lebih dalam membantu menangani masalah di sekolah-sekolah yang terlibat.

"Saya percaya pihak kementerian telah membuat satu kajian yang terperinci dan mereka mempunyai fakta dan angka.

"Kita mestilah mengambil serius 19 sekolah itu, dan sudah pasti pengetuanya, guru-guru penolong kanan dan guru-guru kaunselingnya, telahpun dimaklumkan.

"Dan mereka mesti mengambil tindakan untuk memantau pergerakan pelajar-pelajar di sekolah itu," katanya.

Idris berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Kejohanan Taekwondo Kebangsaan (MGTF) sempena menyambut Hari Kebangsaan 2017 di Bandar Hilir, Melaka.

Hadir sama Presiden Persekutuan Taekwondo Global Malaysia, Datuk Dr Sabree Salleh dan Pengerusi Penganjur Kejohanan MGTF, Datuk Dr Gan Boon Leong.

Idris berkata, semua sekolah mempunyai masalah tersendiri, namun apa yang membezakannya adalah cara dan kaedah menguruskan serta mengendalikan masalah tersebut.

Justeru, semua pihak termasuk ibu bapa dan guru juga perlu memainkan peranan masing-masing bagi memantau pergerakan anak-anak mereka agar tidak terlibat dalam masalah tersebut.

Tambahnya, sekolah yang tersenarai tersebut juga mampu berubah ke arah yang lebih baik jika diberi ruang dan peluang untuk memperbaiki prestasi mereka.

Kementerian Pendidikan sebelum ini mengeluarkan 402 senarai sekolah hotspot di seluruh negara yang telah dikenalpasti mempunyai masalah disiplin dan dadah.

Dari senarai tersebut, 19 buah sekolah adalah dari Melaka merangkumi 14 buah sekolah menengah kebangsaan (SMK), empat buah sekolah kebangsaan (SK) dan satu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Sementara itu, seramai 250 orang peserta dari 9 kontinjen negeri turut serta dalam Kejohanan Taekwondo Kebangsaan tersebut yang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad.

Sebanyak 47 pingat emas dipertandingkan pada kejohanan itu.