Tanggapan sesetengah pihak bahawa hukuman dalam bentuk sekatan perjalanan keluar yang dikenakan terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersifat menindas adalah tidak benar.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap berkata, tindakan menyenarai hitam merupakan pendekatan mendidik bagi memastikan peminjam PTPTN tidak terbeban di kemudian hari.

"Ini adalah langkah akhir terhadap peminjam yang mempunyai tunggakan bayaran balik melebihi enam bulan," katanya di Dewan Rakyat hari ini menjawab soalan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Pas-Kuala Nerus).

Mohd Khairuddin bertanya berhubung prosedur menyenarai hitamkan individu yang gagal membuat pembayaran semula PTPTN.

Mary turut memaklumkan, kutipan bayaran balik PTPTN sehingga Februari lalu adalah sebanyak RM1.84 bilion, sambil menambah, peningkatan bayaran balik ini mampu menampung pembiayaan pengajian 76,000 pelajar baharu.