KUALA LUMPUR:Kerajaan baharu Sabah perlu memikirkan pelan pembangunan inklusif buat segenap lapisan masyarakat di negeri itu sebaik sahaja mereka mula menjalankan tugas.

Dari aspek belia, bekas ahli Parlimen Belia Sabah, Shafiqah Zairina S Zamzaini berharap kerajaan dapat menyediakan peluang mempelajari pelbagai ilmu kemahiran buat belia di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Menurutnya, pandemik COVID-19 yang menyerang negara menyebabkan ramai belia di Sabah kehilangan kerja dan sekiranya mereka mempunyai kemahiran, sudah pasti mereka mampu mencari wang sendiri menggunakan ilmu yang mereka ada.

“Kita perlu ada kemahiran yang bullet proof (kukuh), tak kisahlah ada COVID-19, tak kisahlah ada kemelesetan ekonomi dalam negara, belia-belia kita masih boleh cari duit.

“Mereka masih boleh hidup dengan selesa, tidak hidup dengan kemiskinan. Itu antara fokus yang Ketua Menteri baru harus utamakan,” katanya kepada Astro AWANI.

Dalam pada itu, sebagai anak Sabah, dia berharap kerajaan baharu dapat mewujudkan Satu Daerah Satu Industri di negeri berkenaan sebagai usaha membantu ekonomi penduduk tempatan.

“Harap kerajaan Sabah yang baru ini dapat tubuhkan Satu Daerah Satu Industri, setiap daerah kita pastikan penduduk di daerah itu ada kemahiran tersendiri.

“Jadi sekiranya kita tak dapat cukai petroleum pun, kita dapat pendapatan lain dan dapat bangunkan ekonomi dari sudut lain,” ujarnya.

Mengulas pelantikan Kabinet Kerajaan Negeri Sabah, Shafiqah Zairina berpendapat individu dilantik merupakan orang-orang lama dan sudah tentu mereka faham selok-belok kerajaan negeri serta peka dengan isu yang harus diselesaikan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah di Istana Negeri pada Selasa.

Hajiji, 65, yang juga Ahli Dewan undangan negeri (ADUN) Sulaman mengangkat sumpah jawatan pada jam 10.35 pagi di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Upacara angkat sumpah berkenaan turut dihadiri isteri Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Turut hadir pada majlis istiadat angkat sumpah tersebut ialah pegawai tinggi kerajaan negeri.