Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur belum menetapkan sebarang tarikh perbicaraan bagi kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan hari ini.

Menurut AGC, Mahkamah Tinggi sebenarnya hanya memberi bayangan berdasarkan kalendar hakim Mahkamah Tinggi tentang kemungkinan terdapat kekosongan tarikh bagi perbicaraan kes itu.

"Mahkamah Tinggi menjelaskan bahawa tarikh perbicaraan akan hanya ditetapkan selepas tarikh sebutan akan datang di mahkamah iaitu pada 8 Ogos 2018," jelas kenyataan itu.

AGC berkata tarikh perbicaraan bagi jenayah kolar putih yang kompleks dan melibatkan sejumlah besar dokumen jarang ditetapkan pada hari pertuduhan dibuat, yang melibatkan kehadiran kali pertama pihak berkenaan di mahkamah dan pihak pendakwaan tidak menyerahkan dokumen berkenaan pada hari itu juga.

BACA: Pertuduhan pecah amanah dan rasuah RM42 juta, Najib mengaku tidak bersalah

BACA: Ini peluang terbaik untuk saya bersihkan nama - Najib

BACA: Rosmah dilihat berada di mahkamah beri sokongan moral buat Najib

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Najib Razak didakwa

"Dokumen berkenaan akan diserah kepada pihak pembelaan sebelum bermulanya perbicaraan. Pasukan pendakwaan berhasrat memohon kepada Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos agar tarikh perbicaraan ditetapkan pada November tahun ini," kata kenyataan itu.

AGC berkata apa yang disebut sebagai 'perintah tutup mulut' dikeluarkan Mahkamah Tinggi berikutan permohonan secara lisan dibuat peguam pasukan pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang dibantah keras pasukan pendakwaan itu, adalah bersifat sementara.


Pemohonan formal secara bertulis oleh pihak pembelaan, dengan disokong affidavit yang menyatakan bentuk sebenar printah tutup mulut itu, telah ditetapkan untuk pendengaran pada 8 Ogos. Pasukan pendakwaan akan membantah permohonan berkenaan, kata kenyataan itu lagi.

Pada Rabu, Najib dikenakan tiga pertuduhan Pecah Amanah (CBT) dan satu pertuduhan menyalah guna kuasa berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pihak pendakwaan diketuai Peguam Negara Tommy Thomas, yang dibantu 11 timbalan pendakwa raya iaitu Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, Manoj Kurup, Datuk Suhaimi Ibrahim, Datuk Umar Saifuddin Jaafar, Datuk Ishak Mohd Yusoff, Donald Joseph Franklin, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Budiman Lutfi Mohamed, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.

Peguam kanan Muhammad Shafee mengetuai pasukan pembelaan dengan dibantu lima peguam iaitu Harvinderjit Singh, Datuk Raj Krishnan, Farhan Read, Rahmat Hazlan dan Muhammad Farhan Shafee.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak semalam, Muhammad Shafee memohon perintah tutup mulut sementara yang bertujuan menyekat mana-mana pihak daripada membuat kenyataan bersifat prejudis yang boleh menjejaskan perbicaraan.

-- BERNAMA