Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu beliau tidak mengetahui berhubung dana RM20 juta yang dilaburkan kepada syarikat Aerodyne Ventures Sdn Bhd.

Jelas beliau, kementerian itu tidak memperoleh dana tersebut kerana telah disumbangkan kepada pihak yang terlibat bagi pelaksanaan projek kereta terbang.

"Saya tidak boleh beritahu perkara yang luar pengetahuan saya, apa terjadi kepada dana itu juga, oleh kerana sudah disumbangkan.

"Saya cukup yakin kementerian yang mengundang kewangan ini menggunapakai dan memantau pembangunannya dan saya tidak boleh menjawab apa yang saya tidak tahu," katanya menjawab pertanyaan lisan tambahan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Terdahulu, Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli bertanyakan pihak kerajaan berhubung perkembangan industri kereta terbang sama ada ia masih diteruskan atau sebaliknya di bawah kementeriannya.