Suasana pilu menyelubungi keluarga mangsa kemalangan Lebuhraya Rantau Panjang-Pasir Mas dekat Lubok Jong di Pasir Mas, pagi hari ini.

Bagi bapa salah seorang mangsa, Jaafar Ibrahim, 63, dia sebak sejurus mengetahui anak perempuannya terbabit dalam kemalangan itu.

Tambah menyedihkan apabila dimaklumkan arwah anaknya, Nur Syafiqah, 22, sedang hamil lima bulan.

Dalam kejadian 6 pagi tadi, Nur Syafiqah dan suami Mohd Ikraam Ab Azit, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Myvi dan motosikal yang ditunggang mereka.

Impak kemalangan menyebabkan perut Nur Syafiqah pecah dan janin dikandungnya terkeluar.

BACA: Suami isteri maut, janin terkeluar dalam nahas di Rantau Panjang

Menurut Jaafar, dia mengetahui kejadian yang menimpa anak dan menantunya itu selepas dimaklumkan polis pada 8 pagi tadi.

"Sebaik dimaklumkan anak terbabit dalam kemalangan, saya terus bergegas ke HPM.

“Saya tidak dapat menahan sebak apabila dimaklumkan anak, menantu serta cucu yang dikandung meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, bapa kepada Mohd Ikraam, Abdul Aziz Mohd Zain, 60, berkata anaknya yang bekerja sebagai anggota bomba bantuan di Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat keluar dari rumah 12 tengah malam tadi.

“Dia maklumkan mahu menghantar rakannya ke Kuala Lumpur sebelum dikejutkan dengan kejadian kemalangan itu.

“Kami reda dengan kehilangan anak bongsu daripada tiga beradik secara mengejut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Abdullah Mohammad Piah berkata ketika kejadian mangsa dari Pasir Mas menghala Rantau Panjang manakala Perodua Myvi dipandu Nor Azlan Nasir, 27, dari arah bertentangan.

"Siasatan awal, pemandu kereta dipercayai cuba memotong kenderaan lain tetapi gagal sebelum bertembung dengan motosikal jenis Yamaha Lc yang ditunggang mangsa.

“Pertembungan itu menyebabkan mangsa wanita tercampak tujuh meter dan kandungannya terjejas,” katanya.

Abdullah berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk dibedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.