Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui beliau sangat menyayangi syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines (MAS).

Bagaimanapun, beliau berkata, satu tindakan berkesan perlu diambil dan dilakukan bagi memastikan MAS tidak terus mengalami kerugian.

“Saya sayang MAS. Saya nak MAS ini dijadikan satu penerbangan nasional. Namun saya nampak kita seolah-olah tidak mampu,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen pada Rabu.


Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, kajian perlu dilakukan termasuk sama ada untuk menjual atau sebaliknya syarikat penerbangan itu kepada pihak tertentu.

“Ada pihak-pihak tertentu mahu membeli MAS. Jadi kita tidak tolak. Kita nak kaji sama ada perlu jual atau pun tidak.

"Saya nampak bahawa pengurusan setakat ini, walaupun kita pilih pengurus dari luar, namun MAS masih mengalami kerugian. Jadi satu dari syaratnya ialah dengan menjual,” jelasnya lagi.

Menurut beliau, mereka yang berminat untuk membeli MAS datang dari dalam dan luar negara.

Mengulas cadangan sesetengah pihak supaya MAS terus diletakkan di bawah kerajaan, kata Perdana Menteri, perkara itu masih dalam kajian.

"Kita akan timbang sama ada kita nak tukar pengurusan atau kita perkecilkan atau kita perbesarkan. Kita mempunyai pesawat yang tidak digunakan sepenuhnya. Ini menyebabkan kerugian,” ujar Dr. Mahathir lagi.

Dalam masa sama, Dr. Mahathir mengakui, masih ramai kakitangan syarikat penerbangan itu yang berminat untuk terus berkhidmat.

Namun, apa yang menyulitkan, tegas beliau, ialah strategi dilakukan MAS tidak menguntungkan.

“Umpamanya, kerajaan beri RM6 bilion kepada MAS untuk menolong MAS. MAS juga menghentikan 6,000 (pekerja), tetapi setelah pekerja diberhentikan, MAS tak terbang seperti dulu.

"Maknanya, sudah kurangkan kakitangan, tetapi tiada beza. Kalau kurang pekerja, namun status sama, maka tiada kelebihan,” ujar beliau.