Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata beliau akan terus bersuara mengenai Tabung Haji (TH) biarpun pernah dikeji dan dimaki ketika mendedahkan kepincangan itu pada 2015.

Beliau berkata tindakan mendedahkan kepincangan TH sejak 1 Mac 2015 membawa dirinya ke penjara dan sehingga kini kes berkenaan masih dibicarakan atas tuduhan memfitnah.

"Saya dikeji secara berterusan, baik dari kalangan penyokong UMNO, Pas mahupun rakyat biasa. Tidak ramai sahabat yang berani datang memberi sokongan kerana takut menjadi mangsa serangan juga.

"Saya ditahan, didakwa dan masih menjalani perbicaraan kononnya memfitnah Tabung Haji. Ada pimpinan kanan yang menuduh kononnya saya telah menyebabkan ribuan orang Islam tidak boleh menunaikan ibadah haji.

"Tidak cukup dengan makian berjemaah selama beberapa tahun, pengurusan Tabung Haji sebelum ini telah mendapatkan cop 'puas hati' daripada pimpinan Pas.

"Oleh kerana pimpinan Pas telah memberikan cop 'puas hati', makian berjemaah itu makin berganda," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook.

Rafizi berkata, jika beliau sanggup ke penjara sebelum ini kerana membongkarkan penyelewengan TH walau diserang hebat, beliau akan terus bersuara mengenainya sekarang.

Katanya, beliau berdoa supaya lebih ramai rakyat Malaysia yang boleh menilai sesuatu isu melangkaui pandangan sempit kepartian.

"Saya hanya berdoa rakyat dan penyokong tegar parti-parti (baik PH, UMNO atau Pas) lebih terbuka meneliti setiap fakta.

"Jangan ulangi episod Tabung Haji – walaupun faktanya jelas, ramai-ramai bersekongkol menyembunyikan kerosakan dan menidakkan kebenaran hanya kerana yang membawa fakta itu seorang dari parti lawan," katanya lagi.