Tuntutan tugas sebagai Majlis Penasihat Kerajaan dan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) menjadikan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berada di dua 'pejabat' dalam satu hari.

Jelasnya, dia akan berada di Menara Ilham pada sebelah pagi dan menghadiri mesyuarat di PNB pada sebelah tengah hari.

"Saya jumpa mereka (PNB) pada sebelah tengah hari sebab kerja di sini (Menara Ilham) belum selesai.

"Ada banyak lagi, di mana sudah setengah selesai (50 hari), jadi ada banyak lagi kerja hendak dibuat, tengah hari di sana, pagi di sini," katanya kepada media selepas sesi taklimat Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) di Menara Ilham di sini, hari ini.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia itu menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar yang bersara sebagai Pengerusi Kumpulan PNB dan Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), berkuat kuasa 30 Jun.

PNB dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, lembaga pengarah YPB dan PNB menyambut baik pelantikan Zeti, dan yakin berdasarkan pengalamannya yang luas, beliau akan dapat memberikan kepimpinan yang kukuh kepada kumpulan PNB dalam mencapai mandat penubuhannya bagi memperkasa kekayaan korporat untuk manfaat rakyat Malaysia.

BACA: 'Khidmat untuk negara' sudah berakhir - Wahid Omar