Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini memberitahu mahkamah beliau tidak memerlukan wang RM2 juta, kerana beliau adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya sebelum terlibat dalam bidang politik.

"Dengan rasa rendah diri, saya hendak menegaskan bahawa saya tidak memerlukan wang RM2 juta itu untuk diri saya.

"Saya menyertai Kabinet pada tahun 2001 atas permintaan Perdana Menteri, saya adalah ahli perniagaan berjaya ketika itu dengan berbagai perniagaan.

"Antaranya dalam bidang hartanah, pembalakan, pembuatan, perdagangan, agrikultur, hotel, penternakan dan perniagaan makanan, " katanya dalam keterangan bela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan pada Jumaat.

Tengku Adnan berkata wang berkenaan adalah sumbangan politik kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) pada 2016 dan bukanlah untuk kegunaan peribadi.

"Saya hendak tegaskan di sini, bahawa saya telah memaklumkan ahli perniagaan Tan Sri Datuk Chai Kin Kong bahawa wang itu adalah sumbangan politik kepada Umno bagi kegunaan Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Saya tidak pernah berniat untuk menggunanya," kata Tengku Adnan.

Dalam keterangannya, Tengku Adnan, 69, memberitahu mahkamah beliau bertemu Tan Sri Chai Kin Kong pada awal Jun 2016 berkenaan sumbangan politik itu.

Pada awal pertemuan bersama ahli perniagaan itu, dia telah memaklumkan bahawa Umno dan Barisan Nasional Wilayah Persekutuan memerlukan sumbangan RM5 juta bagi kedua pilihan raya kecil itu.

"Menjadi kebiasaan, Umno memerlukan persiapan bagi Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar termasuk menjana sumbangan politik bagi membayar kempen serta perbelanjaan dalam pilihan raya," katanya.

Bagaimanapun jelasnya, Tan Sri Chai mengatakan persetujuan tetapi memerlukan masa untuk menyumbang wang RM2 juta secara tunai kepada Umno dan Barisan Nasional bagi tujuan itu.

Atas faktor kesuntukan masa, Tengku Adnan mendahulukan wang miliknya berjumlah RM2 juta dan telah memaklumkan perkara itu kepada Tan Sri Chai.

Tindakan itu dibuat kerana segala perbelanjaan pilihan raya kecil termasuk kempen memerlukan pembayaran secara tunai.

"Sumbangan politik Tan Sri Datuk Chai Kin Kong telah diberikan menerusi sekeping cek bernilai RM2 juta pada 14 Jun 2016, saya menerima cek itu tetapi ia sudah lewat kerana kedua pilihan raya kecil itu ditetapkan pada 18 Jun 2016," kata Tengku Adnan lagi.

Cek berkenaan dibayar kepada Tadmansori Holdings Sendirian Berhad (sebuah syarikat perniagaan miliknya).

Bagi perbelanjaan Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar, Tengku Adnan memaklumkan beliau telah menyalurkan wang sebanyak RM1,013,200 manakala bagi perbelanjaan Pilihanraya Kecil Kuala Kangsar, sebanyak RM1,007,600 dalam tempoh seminggu sebelum pilihan raya itu bermula.

Dalam keterangannya, Tengku Adnan turut mengakui telah melakukan pengyistiharan harta sebanyak empat kali iaitu pada tahun 2001, 2006, 2013 dan 2016.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan prosiding bela diri dan akan disambung semula Isnin depan.


Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan didakwa menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan empat tahun lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan lain atas dakwaan menerima suapan iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya.

Perbicaraan selama 12 hari bermula pada 2 Julai itu menyaksikan 23 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.