Kementerian Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak mensasarkan sekurang-kurangnya 10,000 ekor anjing di Bahagian Sibu diberi suntikan anti-rabies pada program vaksinasi anti rabies besar-besaran yang bermula semalam.

Program tersebut bertujuan menyekat penyakit itu daripada merebak ke Bahagian Sibu berikutan pengesanan kes rabies positif pada anjing di Julau akhir tahun lalu.

Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam, Dr Annuar Rapaee berkata, setiap suntikan dengan kos RM50 itu bertujuan melindungi anjing daripada jangkitan.

Memandangkan kos suntikan yang mahal dan hanya berkesan selepas sebulan, pemilik-pemilik anjing dinasihati memastikan haiwan kesayangan mereka itu dikuarantin selepas disuntik bagi mengelak risiko dijangkiti apabila diserang anjing-anjing positif rabies.

"Oleh kerana seekor anjing boleh bergerak sejauh 10km sehari dan Julau hanya berjiran dengan Sibu, kita membuat program ini sebagai langkah memberi imuninasi kepada anjing-anjing di sini dan seterusnya menyekat penularan virus," jelasnya selepas hadir menyaksikan Tilawah Al-Quran peringkat Bahagian Sibu di masjid An-Nur di sini, malam tadi.

Dr Annuar berkata, setakat ini jumlah kematian manusia akibat jangkitan virus rabies di Sarawak masih kekal lima orang dan tiada kes baharu dikesan di kalangan manusia.

Sementara itu, sambutan hari pertama ke atas program vaksinasi anti-rabies besar-besaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bahagian Sibu yang bermula di Dewan Serbaguna Sibu Jaya semalam kurang mendapat sambutan daripada pemilik-pemilik anjing dengan hanya 197 ekor anjing diberi suntikan.

Program itu akan diadakan di 29 kawasan di bahagian ini dan dijadual berakhir di kawasan Taman Permai pada 1 Mac.

"Mungkin orang ramai tidak tahu program ini diadakan. Mulai hari ini (Ahad) kita akan mengedarkan risalah mengenai program vaksinasi anti-rabies besar-besaran bagi makluman orang ramai di daerah ini supaya datang beramai-ramai membawa anjing masing-masing untuk diberi suntikan vaksinasi anti-rabies," jelasnya.

Beliau menyeru agar pemilik-pemilik anjing memberi kerjasama terhadap program itu demi menyekat penularan jangkitan virus itu.