Sarawak tidak akan mengenakan bayaran tol di jambatan-jambatan yang dibina menghubungkan rangkaian jalan pesisir di negeri ini demi kepentingan dan kemudahan rakyat luar bandar, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

"Jambatan-jambatan yang kita bina di seluruh Sarawak kita buat tiada tol kerana kita ada cara sendiri untuk dapatkan dana bagi membiayai pembinaan projek-projek di negeri ini," katanya pada majlis pecah tanah projek rakyat jalan pesisir dari Jalan Pasi ke Tanjung Manis dan Jambatan Batang Rajang di sini pada Sabtu.

Beliau berkata dana tersebut diperoleh hasil daripada cukai jualan sebanyak lima peratus yang dikenakan ke atas minyak dan gas yang dieksport dari Sarawak.

Cukai jualan tersebut yang mula dikuatkuasakan tahun lepas mendatangkan pendapatan tambahan sebanyak RM3 bilion setahun kepada Sarawak.

Menurutnya, Sarawak terpaksa membiayai sendiri projek-projek pembinaan jambatan menghubungkan jalan pesisir sepanjang 896 kilometer dari Kuching ke Miri selepas kerajaan Persekutuan menarik balik peruntukan yang diluluskan kerajaan terdahulu.

Sementara itu, projek pembinaan Jalan Pasi-Jalan Tanjung Manis sepanjang 17km dan Jambatan Batang Rajang sepanjang 1.2km yang akan menjadi jalan pintas dari Sarikei ke Tanjung Manis menelan kos RM300 juta dan akan mengurangkan masa perjalanan daripada dua jam setengah kepada hanya 45 minit kerana tidak perlu melalui bandar Sibu terlebih dahulu.

Bagi projek pembinaan Jambatan Igan dan Jambatan Batang Lassa katanya, ia kini dalam proses tender.

Abang Johari berkata 60 peratus daripada peruntukan Bajet 2019 Sarawak sebanyak RM11.91 bilion akan digunakan untuk membangunkan kawasan luar bandar yang didiami kira-kira 1.9 juta daripada 2.8 juta penduduk negeri itu.

-- BERNAMA