Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini melaporkan tiada pertambahan kes positif COVID-19 terbaharu di negeri itu.

Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di sana kekal dengan 696 kes setakat ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, tiada pertambahan kes pulih dan discaj dilaporkan menjadikan jumlah itu kekal dengan 662 kes atau 95.11 peratus.

“15 kes masih menerima rawatan dalam wad isolasi melibatkan sembilan kes di Hospital Bintulu, empat di Hospital Umum Sarawak (HUS), manakala satu kes masing-masing dirawat di Hospital Sibu dan Hospital Miri,” ujar kenyataan itu.

Antara lain, kluster Alam kini kekal sebagai satu-satunya kluster COVID-19 yang masih aktif di negeri itu melibatkan tujuh kes positif COVID-19 setakat ini.

Manakala 13 kes Person Under Investigation (PUI) baharu turut dilaporkan dan satu kes masih menunggu keputusan ujian makmal.