Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melaporkan tiada pertambahan kes positif COVID-19 baharu di negeri itu, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 keseluruhan kekal 699 kes.

Menerusi kenyataan dikeluarkan pada Rabu, JPBN Sarawak turut mengumumkan tiada pertambahan kes pulih dan discaj direkodkan menjadikan angka itu kekal 663 kes atau 94.85 peratus.

“Ketika ini 17 kes masih menerima rawatan dalam wad isolasi melibatkan 11 kes di Hospital Bintulu, lima kes di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan satu kes di Hospital Miri,” tambah kenyataan sama.

Selain itu, Kluster Alam merupakan satu-satunya kluster COVID-19 yang dilaporkan aktif di negeri itu dengan lapan kes dilaporkan setakat ini.

Kata kenyatan itu, lima kes Individu dalam siasatan (PUI) baharu direkodkan dan tiada kes dilaporkan masih menunggu keputusan ujian makmal.

Antara lain, Kuching dan Bintulu merupakan dua daerah yang masih dikategorikan sebagai zon kuning di negeri itu manakala 38 daerah dikategorikan sebagai zon hijau.