Kerajaan negeri Sarawak menerusi Kementerian Kebajikan Kesejahteraan Komuniti Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Sarawak hari ini menerima geran Kerajaan Persekutuan bernilai RM3,615,800.00 bagi menyokong pelaksanaan pembangunan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri itu.

Pemberian geran ini merupakan geran Fasa 2 dan menjadikan jumlah keseluruhan geran KRT bagi tahun ini kepada negeri itu berjumlah RM4,643,000.00.

Jumlah ini adalah merupakan kenaikan sebanyak 12.5% daripada jumlah geran KRT yang diterima oleh negeri Sarawak pada tahun 2019.

Cek tersebut diserahkan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique kepada Menteri KWKPK Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurut Halimah, kementeriannya bertanggjawab dalam urusan yang melibatkan agenda perpaduan nasional dan projek pembangunan melibatkan integrasi nasional.

“Kementerian Perpaduan Negara bertanggungjawab bukan sahaja untuk mengurus tadbir perkara-perkara yang berkaitan dengan agenda perpaduan nasional malah urusan projek pembangunan yang berkaitan dengan Jabatan Perpaduan dan integrasi nasional.

“Contohnya seperti Tabika Perpaduan, taska dan juga mekanisme yang paling penting yang menjadi pemangkin di peringkat akar umbi iaitu KRT,” katanya.

Selain Geran KRT, peruntukan operasi pasca COVID-19 sebanyak RM459,966.00 juga diserahkan kepada Skim Rondaan Sukarela (SRS), Taska Genius Perpaduan (TGP) dan Tabika Perpaduan (TP).

Peruntukan ini akan digunakan oleh jentera Perpaduan Sarawak dalam penyediaan dan operasi fungsi masing-masing selepas dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Halimah menyampaikan cek berkenaan kepada Fatimah ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia pada Jumaat.