Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini melaporkan pertambahan satu kes positif terbaharu COVID-19 menjadikan jumlah kes positif di sana meningkat kepada 680 kes.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, kes diklasifikasikan sebagai kes import melibatkan seorang lelaki bukan warganegara yang tiba dari Pakistan.

Kes dilaporkan menaiki penerbangan dari Lahore ke Kuala Lumpur pada 26 Julai 2020 dan masuk ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada 27 Julai 2020.

Kes telah menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di Kuching selepas didapati negatif menerusi ujian saringan di Kuala Lumpur dan turut negatif selepas menjalani ujian saringan pada 28 Julai 2020.

Bagaimanapun pada hari ke-10 kuarantin, menerusi ujian saringan kedua pada 5 Ogos 2020, kes didapati positif COVID-19 menerusi keputusan ujian saringan pada 7 Ogos 2020.

Berikut merupakan lima perkara penting kenyataan media JPBNS pada Sabtu;

1) Satu kes positif COVID-19 dilaporkan di Daerah Kuching menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak kini 680 kes.

2) Kluster masih aktif kekal 10 melibatkan 70 kes dan kluster Sentosa kekal paling banyak kes (31 kes).

3) 18 kes baru telah pulih dan discaj dari Hospital Umum Sarawak, 15 dari Kuching, dua dari Serian dan satu dari Samarahan.

4) Jumlah kematian kekal 19 orang dan 17 orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital.

5) 13 PUI baru dilaporkan dan 4 kes menunggu ujian makmal.