Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Douglas Uggah Embas pada Selasa mengisytiharkan satu lagi kawasan baharu jangkitan wabak rabies iaitu Kampung Telagus Legai di Serian.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata pengisytiharan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan 25 kawasan jangkitan dengan Bahagian Serian mencatat 20 kawasan, Sri Aman (1) dan Kuching (4) sejak 1 Julai lalu.

"Ia adalah hasil terkini daripada 228 keputusan kes yang terdiri daripada 209 sampel anjing, 18 sampel
kucing dan satu sampel kelawar yang diterima daripada Institut Penyelidikan Veterinar, Ipoh.

"Sejumlah 233 sampel telah dihantar sebelum ini," katanya.

Menurutnya, setakat jam 3 petang tadi, sebanyak 86 ekor anjing telah menjalani proses vaksinasi di kampung-kampung di Puncak Borneo, di sini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 36,895 haiwan kesayangan telah divaksinasi merangkumi 28988 ekor anjing, 7862 ekor kucing dan 45 haiwan lain.

"Sebanyak 41,927 survelan aktif dan 1,778 survelan pasif untuk mengawal penularan wabak rabies telah dilakukan di kawasan Serian, Kuching dan Sri Aman.

Sementara itu, dalam operasi bersepadu Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) bersama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, pasukan pencegah telah menangkap sebanyak 1,590 ekor anjing dari Bahagian Kuching, Sri Aman, Sarikei, Samarahan, Betong dan Serian.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pula dalam kenyataannya memaklumkan sebanyak 35 kes gigitan baharu dilaporkan hari ini iaitu sembilan kes di Bahagian Serian, dua kes di Bahagian Sri Aman, 18 kes di Bahagian Kuching dan enam kes di Bahagian Samarahan.

"Daripada jumlah tersebut, 30 kes melibatkan haiwan peliharaan iaitu anjing (18 kes), kucing (11 kes) dan khinzir (satu kes).

Manakala lima kes pula melibatkan haiwan liar atau tidak bertuan, iaitu kucing (empat kes) dan monyet (satu kes).

Katanya, jumlah ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan haiwan yang berlaku sejak 1 April lalu berjumlah 3,568 kes dan seramai 1,301 orang telah menerima suntikan vaksin anti-rabies.