Saksi kedua bagi kes perbicaraan rasuah melibatkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Selasa mengesahkan wujudnya transaksi berjumlah RM2 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Syarikat Tadmansori Holding Sdn Bhd milik keluarga tertuduh.

Khairolrony Kamarudin yang merupakan Penolong Pengurus Bank CIMB cawangan Setiawangsa mengesahkan perkara itu sebaik sahaja ditanya peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan.

"Merujuk kepada tarikh 14 Jun, saya sahkan terdapat kemasukan deposit berjumlah RM2 juta menerusi cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd ke dalam akaun syarikat Tadmansori Holding Sdn Bhd", katanya ketika menjawab soalan peguam.

Saksi bagaimanapun memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak mengetahui tujuan sebenar kemasukan deposit itu kepada syarikat berkenaan.

Saksi sama turut mendedahkan terdapat tiga lagi transaksi lain bernilai RM2 juta setiap satunya dalam lingkungan masa yang sama.

Terdahulu, penolong pendaftar Syarikat Suruhanjaya Malaysia, SSM , Muhamad Akmaludin Abdullah menjadi saksi pertama memberi keterangan.

Beliau tampil mengesahkan beberapa dokumen berhubung pendaftaran syarikat namun memberitahu mahkamah tidak mempunyai akses kepada maklumat penyata kewangan syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd dan Aset Kayamas Sdn Bhd.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya ini berdepan tuduhan menerima RM2 juta daripada Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank pada 14 Jun 2016 lalu.

Cek milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd yang mempunyai kepentingan bagi Tengku Adnan, yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.