Sabah dan Negeri Sembilan dijangka mengikut jejak Kedah yang bertukar kerajaan negeri atas beberapa faktor termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti dan tekanan kuat di peringkat Persekutuan.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, jangkaan itu mengambil kira krisis politik yang pernah berlaku sebelum ini terutama amalan ADUN melompat parti secara beramai-ramai di Sabah.

Menggambarkan amalan itu sebagai 'tradisi' di Sabah, beliau berkata, ia bukan perkara baharu, malah boleh berlaku sekali lagi berikutan berubahan kepimpinan di peringkat Persekutuan.

Dalam situasi sebelum ini, ramai ADUN di negeri itu membuat keputusan mengalih sokongan atau melompat parti kerana tidak mahu kawasan mereka tercicir daripada arus pembangunan sekali gus memastikan terus mendapat bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

"Saya beranggapan ada risiko (Sabah) sebab kita tengok perkara ini merupakan satu 'pattern' yang mana bukan suatu benda baharu dan perkara ini pernah berlaku (juga di negeri lain) menyebabkan perubahan dalam kepimpinan kerajaan.

"Kalau lihat dan mengambil contoh Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU-14) lalu, apa yang berlaku di Kedah sudah boleh dijangka apabila berlaku perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan.

"Tambahan pula Kedah pada ketika itu diklasifikasikan sebagai Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung dan pembentukan kerajaan negeri hasil daripada tindakan lompat parti ADUN daripada Barisan Nasional (BN) masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.

Sementara itu, mengenai Negeri Sembilan, Mohd Azizuddin yang juga Pensyarah Pengajian Antarabangsa UUM, berkata jumlah majoriti kerusi DUN kerajaan PH tidak tinggi berbanding pembangkang di negeri itu.

"Saya jangka Negeri Sembilan akan berlaku perubahan kerana jumlah majoriti kerusi DUN PH amat tipis dan jika berlaku ADUN lompat parti, maka perubahan kerajaan negeri juga akan berlaku," ujarnya.

DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi dengan kerajaan PH mempunyai 20 kerusi iaitu gabungan 11 ADUN DAP, PKR (enam) dan AMANAH (tiga), manakala BN mempunyai 16 kerusi iaitu UMNO (15) dan MIC (satu).

Sementara itu, Mohd Azizuddin berkata, dua negeri kerajaan PH iaitu Selangor dan Pulau Pinang pula dilihat lebih kukuh dan berkemungkinan besar tiada perubahan kerajaan negeri dalam tempoh terdekat.

Jelasnya, ia berikutan jumlah kerusi DUN yang dimiliki PH lebih banyak berbanding kerusi gabungan PN.

"Selain itu, dalam sejarah politik negara juga, kedua-dua negeri ini tidak berlaku tradisi lompat parti secara besar-besaran seperti mana berlaku di Sabah.

TAMAT