Sabah berhak mendapat 40 peratus daripada hasil negeri ini seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Negeri di Bawah Bayu itu juga berhak menuntut segala hak seperti mana yang dilakukan Sarawak hingga berjaya mengendali hasil minyak dan gas sendiri menerusi Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Malah, menurut Anifah, rakyat Sabah bakal menerima 'khabar gembira' daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat khususnya berhubung tuntutan hak dalam MA63.

Kata beliau, pendekatan seperti konsultasi dialong perbincangan secara baik telah dilakukan pihaknya dan ia sedang berjalan lancar setakat ini.

"Apa yang Sarawak dapat kita akan dapat. (Perlu diingat) Sarawak tidak dapat 40 peratus hasil pendapatan yang diambil dari negeri ini. Itu (40 peratus) yang mereka tiada.

"Bagaimanapun kita mempunyai cara berbeza... cara konsultasi dialog berbincang secara baik dan kita tidak mahu apa orang kata konfrontasi jadi banyak perbincangan yang sudah kita lakukan dan kita tidak mewar-warkan di luar. Alhamdulilah perbincangan berjalan dengan baik dan saya percaya tidak lama lagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib akan mengumumkan sesuatu (kepada rakyat Sabah)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu kejayaan Sarawak yang diberikan hak dalam industri minyak dan gas seperti diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis di Kuching, pada Selasa lalu.

Dalam pada itu, Anifah menegaskan beliau tidak akan menerima sebarang jawatan menteri serta bersedia berundur daripada UMNO sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib gagal menunaikan hak-hak rakyat negeri ini dalam MA63 seperti yang dijanjikan.

Namun, beliau percaya dan yakin, Najib akan mengotakan janji itu seperti yang sering dibangkitkan dalam siri jelajah di Sabah.

"Oleh kerana ini adalah janji Perdana Menteri, saya katakan saya yakin kepada Allah S.W.T, saya percaya kepada beliau, jadi mereka (pembangkang) mengatakan kalau Najib tidak tunaikan janji apa yang hendak saya buat, saya kata saya tidak mahu tunggu pun sehari dalam UMNO," katanya.

Mengenai isu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini mengetuai gerakan pembangkang dan Pengerusi Pakatan Harapan menyentuh mengenai MA63 dalam pelancaran Manifesto Pakatan Harapan baru-baru ini, Anifah berpendapat ia lebih kepada retorik politik sahaja berbanding usaha yang dijalankan oleh Mahathir bersama beberapa lagi menteri di Sabah sejak tahun 2015.