Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2019) 2020 dibaca kali kedua di Dewan Rakyat pada Selasa.

Ia bagi memohon perbekalan tambahan perkhidmatan sebanyak lebih RM7 bilion melibatkan 14 kementerian dan agensi kerajaan.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abdul Rahim Bakri ketika membentangkan lebihan daripada Akaun Hasil Disatukan 2019 ke Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM1.072 billion.

RUU Perbekalan Tambahan (2019) melibatkan anggaran perbelanjaan tambahan Kementerian Kewangan sebanyak RM3.628 billion, Kementerian Kesihatan (RM1.179 bilion), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (RM635.9 juta), Kementerian Pendidikan (RM623.7 juta), Kementerian Pertahanan (RM362.9 juta).

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (RM313.2 juta), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (RM77.1 juta), Kementerian Air Tanah dan Sumber Asli (RM58.2 juta), Kementerian Industri Utama (RM40.3 juta), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (Rm39.4 juta), Kementerian Kerja Raya (RM16.1 juta), Kementerian Luar Negeri (RM13.9 juta), Kementerian Pengangkutan (RM50 juta) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (RM15.6 juta).

Sementara itu, Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun ketika membuka sesi pembacaan RUU Perbekalan Tambahan (2019) menjelaskan tempoh proses undi belah bahagian dipanjangkan kepada tambahan 10 minit.

Keputusan itu dibuat bagi memberi masa secukupnya kepada Ahli Parlimen untuk hadir ke Dewan Rakyat ketika proses undi belah bahagian dijalankan dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 serta jarak antara blok Parlimen dan blok Pentadbiran.

"Bagi proses belah bahagian di mana setiap kali proses ini dijalankan, loceng akan dibunyikan selama dua minit dan kemudian persidangan mesyuarat akan ditempohkan selama 10 minit bagi memberi masa kepada semua Ahli Parlimen untuk berada dalam dewan untuk ambil bahagian dalam proses belah bahagian.

"Kemudian loceng akan dibunyikan semula selama dua minit selepas sidang mesyuarat ditempohkan bagi membolehkan persidangan dijalankan dan proses belah bahagian dilaksanakan," katanya.