Jabatan Alam Sekitar (JAS) menasihatkan orang ramai agar merujuk bacaan rasmi Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan jabatan itu sahaja bagi mengelak sebarang kekeliruan.

Mengulas laporan media yang merujuk bacaan Air Quality Index (AQI) yang dikeluarkan AirVisual, JAS berkata bacaan itu menggunakan sensor sahaja.

"Justeru, bacaan dianggap tidak tepat berbanding bacaan IPU JAS yang mengambil kira kepekatan partikel halus (Particle Matter) yang bersaiz 2.5 mikron dan ke bawah (PM2.5).

"Penggunaan PM2.5 dalam pengiraan IPU adalah sejajar dengan piawaian antarabangsa dan diguna pakai di kebanyakan negara menjurus ke arah kelestarian alam sekitar," kata JAS dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya bacaan IPU yang disalurkan JAS menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) adalah merupakan bacaan IPU rasmi negara dan data-data itu telah ditentusahkan sebelum dipamerkan kepada orang awam.

JAS berkata bacaan IPU JAS boleh diakses melalui laman sesawang jabatan itu atau melalui aplikasi MyIPU yang boleh dimuat turun melalui Google Plays dan Apple Store.

-- BERNAMA