Pelaksanaan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) dilihat mampu memberi manfaat lonjakan ekonomi dalam pelbagai sektor, khususnya sektor rel negeri di Johor.

Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, usaha itu dilihat mampu menjadikan pergerakan kedua-dua negara lebih produktif selain menjimatkan masa perjalanan.

Katanya, dalam masa sama, perkara itu secara tidak langsung turut membantu meningkatkan tahap ekonomi pelancongan domestik dan antarabangsa.

"Projek yang dijadualkan siap pada tahun 2026 dijangka akan menjadi lonjakan baharu buat Johor dan Malaysia dalam sektor rel kerana ia akan menjadikan pergerakan antara kedua-dua negara lebih produktif selain menjimatkan masa perjalanan.

"Selain itu, manfaat daripada projek ini juga dilihat mampu meningkatkan lagi sektor ekonomi pelancongan domestik dan antarabangsa memandangkan sebahagian besar ada pelancong masuk melalui Singapura duhulu sebelum ke Malaysia," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Jumaat.

Projek Sistem Transit Rapid RTS menghubungkan Johor Bahru-Singapura yang sekian lama tertangguh akhirnya diteruskan semula pada Januari 2021.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan secara dua fasa yang dijangka siap pada penghujung 2026.

Dalam pada itu, Mohd Yusof yang juga Sektretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) berkata, pelaksanaan projek berkenaan turut memberi manfaat pembinaan kepada penduduk tempatan di kedua-dua negara.

"Malaysia bagaimanapun perlu berhati-hati kerana negera sedang bergerak ke arah pasca COVID-19 dan ini merupakan projek berskala besar serta berintensifkan modal guna buruh.

"Oleh itu, penting bagi kerajaan untuk sentiasa melakukan pemantauan selain berupaya meningkatkan impak pekerjaan kepada penduduk di Johor," ujarnya.