Harga runcit petrol RON97 naik dua sen kepada RM2.36 seliter, manakala RON95 naik dua sen kepada RM2.06 seliter sementara diesel naik sebanyak enam sen kepada RM2.14, berkuat kuasa tengah malam ini hingga 21 Februari.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan memaklumkan, berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit petrol RON95 dan diesel bagi tempoh itu masing-masing sepatutnya RM2.06 dan RM2.14 seliter.

"Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.04 seliter dan diesel yang berada pada paras RM2.08 seliter, tetapi masih di bawah had harga yang ditetapkan iaitu RM2.08 seliter untuk RON95 dan RM2.18 seliter untuk diesel," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, harga runcit bagi kedua-dua produk dinaikkan selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.

"Namun apabila harga pasaran dunia naik dan demi melindungi pengguna daripada mengalami impak kenaikan harga, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter bagi petrol RON95 dan diesel melalui pemberian subsidi," katanya. - BERNAMA