CUT Nyak, kapan saya boleh ikut berperang?”

Skrip itu dipetik daripada sebuah babak dalam filem Tjoet Nja' Dhien, karya epik Indonesia yang memaparkan kehebatan srikandi yang memimpin masyarakat Aceh dan kumpulan gerila melawan Belanda pada awal abad ke-20.

Babak itu memaparkan perbualan antara seorang kanak-kanak perempuan yang bertanyakan soalan kepada Cut Nyak Dhien, srikandi bangsa berperwatakan hebat didokong oleh pelakon Indonesia, Christine Hakim.

Filem arahan Eros Djarot ini merupakan naskhah pertama Indonesia yang berjaya dipertontonkan di khalayak antarabangsa di festival filem berprestij di Cannes pada 1988.

Ini bukan cerita filem, tetapi cerita sejarah bangsa dan kepimpinan sosok wanita yang hebat. Benua kita, orang Asia, tidak sunyi daripada kisah, mitos dan lagenda kehebatan wanita mengharungi keluarbiasaan.

Christine Hakim
Pada intinya, kita sebagai wanita, jangan dihilangkan kewanitaan itu; wanita harus mempunyai wawasan yang luas

Selepas tiga dekad, Christine yang mendokong peranan sebagai Duta Unicef dan juri Festival Filem Cannes 2002 akan kembali menghidupkan ‘roh’ kehebatan Cut Nyak Dhien di R.O.S.E. 2018 pada 6 dan 7 Februari depan.

R.O.S.E. 2018 anjuran Astro AWANI bukan persidangan yang menghimpunkan wanita yang biasa-biasa.

Ia menghimpunkan wanita-wanita hebat merentasi pelbagai bidang perniagaan, teknologi, industri kreatif, farmasi, korporat, pendidikan, aktivis sosial dan lain-lain di persada dunia.

Selain Christine Hakim, personaliti berpengaruh dan nama-nama besar yang akan menyertai R.O.S.E. ialah Presiden BT Japan, Haruno Yoshida dan Naib Pengerusi Martha Tilaar Group, Wulan Tilaar serta Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad, Datuk Farshila Emran.


Selaras dengan ‘jiwa’ 2018 yang diisytihar sebagai tahun memperkasakan wanita, R.O.S.E. bakal membawa naratif yang berbeza dalam mengetengahkan ceritera keperwiraan wanita sekarang dan masa akan datang.

R.O.S.E. ialah nama akronim untuk Rock On Sistas Exhale (R.O.S.E) dan akan berlangsung di Shangri-La Hotel Kuala Lumpur.

Masih tidak terlambat untuk anda mendaftar. Untuk penyertaan, terus ke www.rosekl.com sekarang!