Sejumlah RM24 juta dana pembangunan dan penyelidikan (R&D) Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) diperuntukkan khas untuk penyelidikan industri bagi tahun ini.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, ia adalah langkah pertama kali kementerian itu di mana dana berkenaan melibatkan lebih 50 peratus daripada dana R&D yang diperuntukkan bagi tujuan berkenaan berbanding hanya 8.6 peratus sebelum ini.

"Ia satu daripada 23 inisiatif MESTECC bagi sektor sains dan teknologi.

"Jika kita lihat negara lain seperti Singapura peruntukan dana untuk penyelidikan industrinya ialah 48 peratus manakala Jepun 78 peratus, dan buat pertama kali tahun ini bermula di MESTECC kita peruntukan sejumlah lebih 50 peratus untuk penyelidikan industri," katanya kepada pemberita dalam satu temubual khas sempena setahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di sini.

Yeo berkata antara objektif peruntukan itu adalah mewujudkan ekosistem yang diaplikasikan dalam industri dan ekonomi supaya sektor tersebut boleh mencipta kekayaan untuk Malaysia melalui sains dan teknologi di samping mewujudkan peluang pekerjaan.

Selain inisiatif itu, MESTECC sedang membawa Pusat Sains Negara versi mobil kepada sekolah-sekolah di luar bandar.

Katanya, inisiatif di bawah Minggu Sains Negara itu akan membolehkan pelajar luar bandar dan desa mengenali sains dengan lebih dekat.

"Mobile Science Centre ini, yang akan bermula Julai ini, bergerak ke sekolah-sekolah di luar bandar kerana selama ini hanya pelajar bandar sahaja mampu berkunjung ke Pusat Sains Negara. Kita sasarkan program ini akan memanfaatkan 600,000 murid luar bandar," katanya.

Selain itu, beliau menambah MESTECC kini menyediakan fasiliti perkongsian kemudahan dan peralatan 1,200 peralatan saintifik kepada sektor industri.

"Pihak industri juga berpeluang memperoleh khidmat nasihat pakar dalam bidang sains dan teknologi melalui kerjasama perkongsian kemudahan dan peralatan saintifik ini," katanya.

-- BERNAMA