Kerajaan negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi tujuan penyaluran bantuan makanan kepada penduduk yang terputus bekalan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di daerah Kota Setar, pada Isnin.

Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata penghantaran bekalan itu akan diuruskan oleh petugas-petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Agihan sendiri bantuan tidak dibenarkan kerana dibimbangi akan menyebabkan penularan virus COVID-19 menerusi pergerakan keluar masuk ke kawasan PKPD," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Beliau berkata mana-mana badan bukan kerajaan (NGO), persatuan atau individu yang berhasrat untuk turut menyumbang boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pejabat Daerah Kota Setar di talian 04-7027080.

"Mereka yang terputus bekalan makanan sepanjang PKPD juga boleh hubungi terus talian sama untuk membuat aduan dan memaklumkan alamat kediaman masing-masing," katanya.

Muhammad Sanusi berkata selain itu, 'food bank' Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang terdapat di semua masjid di seluruh negeri itu, termasuk di kawasan PKPD juga boleh dimanfaatkan untuk membantu mereka yang terputus bekalan makanan.

"Penduduk yang terbabit boleh menghubungi penolong amil LZNK atau jawatankuasa masjid di kawasan berhampiran masing-masing untuk mendapatkan bekalan," katanya.

Beliau berkata di daerah Kota Setar, terdapat kira-kira 6,000 penerima bantuan tetap bulanan daripada JKM, LZNK, dan Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) yang menerima bantuan terus ke akaun masing-masing.

BACA: Penduduk di PKPD Kota Setar diminta hubungi PKOB jika perlu bantuan makanan

Menurut beliau, sebanyak 366,787 penduduk diletakkan di bawah PKPD secara pentadbiran bermula 11 September hingga 25 September ini, berikutan penularan pandemik COVID-19 daripada kluster Telaga dan kluster Sungai di daerah itu.

"Sebelum ini, kerajaan negeri telah membelanjakan RM500,000 sebagai bantuan kepada penduduk yang terputus bekalan makanan semasa PKPD di Amanjaya," katanya.

-- BERNAMA