Pegawai khas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Rizal Mansor mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung Projek Bersepadu sistem solar photovoltaic hibrid dan genset, diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, dua tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Rizal juga bekerja sebagai pembantu khas Rosmah Mansor didakwa meminta RM212.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, bagi pihak Rosmah untuk melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu dan memastikan syarikat itu mendapatkan projek tersebut yang bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Beliau juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan ketiga dan keempat menerima RM5.5 juta bagi dirinya dan Rosmah sebagai upah melakukan kesalahan itu.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pusat membeli belah Sunway Putra, dan Pavilion pada 20 dan 23 Disember 2016.

Pendakwaan dikemukakan di bawah perenggan 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009(Akta 694) Akta SPRM 2009.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kamal Baharin Omar memaklumkan pihaknya dan pembelaan bersetuju RM1 juta sebagai wang jaminan.

Peguam, Ridha Abdah Subri memohon mahkamah agar wang jaminan dibayar secara ansuran.

"Anak guam sedang mengalami masalah kewangan dan hanya berjaya mengumpulkan RM500,000, pada hari ini," katanya.

Menurutnya, Rizal telah memberi kerjasama sepanjang berada di bawah tahanan reman SPRM.