Riza Aziz, anak tiri kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9.45 pagi ini untuk berdepan pasukan penyiasat buat hari keempat berturut-turut.

Proses rakaman keterangan Riza hari ini adalah berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mana dia sudah memberi keterangan selama hampir 23 jam sejak Selasa.

Pada Khamis, Riza yang juga Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat perfileman yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat telah berada di pejabat SPRM selama lebih tujuh jam untuk direkodkan keterangan.

Sebelum ini, sebuah portal tempatan melaporkan anak tiri Najib itu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB.

Pada Selasa, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull turut mengesahkan bahawa mereka hanya mengambil keterangan Riza dan tiada keperluan untuk menahannya setakat ini.