Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem hari ini berkata kementerian itu tidak diperlukan oleh undang-undang untuk menjelaskan kelewatan dalam membawa kes 3,600 kakitangan Malaysia Airlines yang diberhentikan ke Mahkamah Perindustrian.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian berkenaan, menerusi Jabatan Perhubungan Perindustrian, telah menghantar surat kepada pekerja yang terbabit untuk menjelaskan tentang situasi itu.

Surat itu, katanya, sehingga kini telah dihantar kepada kira-kira 1,500 daripada 3,600 kakitangan diberhentikan yang menganggotai kesatuan sekerja MAS.

"Itu bagi saya sudah memadai untuk menjawab ... kami tidak terikat kepada undang-undang untuk memberi penjelasan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Gaji Yang Dikaitkan Dengan Produktivi ASEAN di sini hari ini.

Riot turut menegaskan MAS tidak lagi wujud dan oleh kerana syarikat itu telah dibubarkan, kementerian berkenaan tidak boleh memburunya.

Bulan lepas, Kesatuan Kebangsaan Atendan Penerbangan Malaysia mempersoalkan kementerian itu yang mengambil masa dua tahun untuk memutuskan supaya tidak merujuk kes 3,600 pekerja MAS yang diberhentikan ke Mahkamah Perindustrian.

Ketika ditanya tentang perkara itu, ketua pengarah jabatan berkenaan Khalid Jali berkata ini disebabkan moratorium berkaitan peralihan MAS kepada Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang sedang mengambil tempat. Ia tamat pada 24 Mei 2017.

Mengenai persidangan itu, Riot berkata adalah penting bagi syarikat dalam ASEAN, terutamanya Malaysia, untuk menerima pakai Sistem Gaji Yang Dikaitkan Dengan Produktivit (PLWS) untuk meningkatkan pertumbuhan dan produktiviti.

Beliau berkata lebih 81,000 syarikat di Malaysia sehingga kini menerima pakai sistem itu yang melibatkan 3.7 juta pekerja.

Beliau berharap cadangan yang dibuat pada persidangan sehari itu akan disalurkan kepada Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Buruh ASEAN yang dijadual pada Mei 2018.

Bertemakan 'Mempertingkatkan Struktur Gaji yang Menggalakkan Pewujudan dan Perkongsian Kekayaan', persidangan anjuran kementerian itu disertai 250 pegawai kanan dari negara anggota ASEAN selain wakil dari Jepun, China dan Korea Selatan.

-- BERNAMA