Kementerian Tenaga dan Sumber Asli akan memperkenalkan teknologi seperti geospastial bagi membantu renjer melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan melindungi khazanah sumber asli negara.

Menterinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata bagi menyokong usaha itu, kerajaan akan memberikan latihan kepada renjer untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran mereka dalam menggunakan aplikasi teknologi yang disediakan.

"Dalam era kebiasaan baharu, penggunaan teknologi memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dan pada masa sama penekanan juga akan diberikan ke arah memperkukuh integriti renjer bagi membendung salah laku dan salah guna kuasa," katanya dalam kenyataan bersempena sambutan Hari Renjer Sedunia di sini, hari ini.

Hari Renjer Sedunia disambut pada 31 Julai setiap tahun bagi memperingati renjer yang terbunuh atau cedera semasa menjalankan tugas serta mengiktiraf pengorbanan renjer dalam memastikan khazanah sumber asli negara dilindungi.

Shamsul Anuar berkata renjer merupakan barisan hadapan yang sanggup berdepan dengan pelbagai risiko termasuk kemalangan, kecederaan dan kematian dalam menjaga dan mempertahankan sumber asli daripada pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar.

Renjer juga menjadi penggerak utama dalam memastikan kawasan yang dijaga sentiasa diuruskan dengan baik dan menjadi ejen untuk meningkatkan kesedaran dan kecintaan masyarakat kepada sumber asli.

"Di saat kita berdepan dengan penularan wabak pandemik COVID-19, renjer terus komited dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan, antaranya ialah penglibatan renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dan operasi pemadaman kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) walaupun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"OBK telah mencapai kejayaan besar dalam menangani pemburuan haram hidupan liar dan pada tahun ini sahaja OBK berjaya menangkap 82 orang pesalah melibatkan 36 kes tangkapan dan sebanyak 460 jerat telah dimusnahkan," katanya.

Beliau berkata menyedari peranan renjer dalam usaha melindungi dan memulihara biodiversiti semakin mencabar, kementerian melalui Perhilitan juga telah mempertingkat kekuatan anggota renjer melalui pelantikan secara kontrak 100 orang Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT) dan 50 Orang Asli (OA) di bawah Biodiversity Protection and Patrolling Programme (BP3).

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada renjer di seluruh negara dan ahli keluarga mereka yang banyak berkorban dan memberikan sokongan ... saya menyeru semua pihak untuk menghargai jasa renjer kerana mereka adalah wira yang mesti diberi penghormatan dan pengiktirafan," katanya.