Dengan kadar sewa RM45 semalam, empat pasangan remaja bawah umur sanggup berbelanja untuk melampiaskan gian bahan khayal mereka di sebuah hotel bajet di Jalan Chow Kit, ibu negara.

Perbuatan terkutuk mereka terbongkar susulan serbuan penguatkuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi memerangi gejala penagihan dadah sekitar ibu kota malam tadi.

Semakan juga mendapati seorang remaja yang ditahan sudah mula berjinak-jinak dengan dadah sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Remaja perempuan yang berusia 13 tahun itu mengakui sudah tidak bersekolah sejak darjah 5 lagi.

Dia ditahan ketika berada di dalam sebuah bilik bersama rakan-rakannya yang lain dipercayai untuk mengambil dadah.

Malah dia mengaku kali terakhir mengambil dadah tiga hari lepas dan tidak pulang ke rumah sejak tiga hari lalu.

Selain remaja terbabit, turut ditahan seorang wanita bersama bayinya yang berusia empat bulan.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Abdul Halim Hussain berkata ketika serbuan wanita berusia 29 tahun itu berada di dalam bilik berkenaan bersama rakannya dipercayai untuk mengambil dadah.

“Apabila kita melihat ibu dengan anak kecil itu, AADK berpendapat lebih baik dia menerima rawatan dan pemulihan kerana kita ada pusat rawatan wanita dan juga dia boleh bawa anak dia sekali,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Sepanjang operasi yang berakhir pagi tadi seramai 134 orang diperiksa.

Daripada jumlah itu 112 didapati positif mengambil dadah dengan 18 daripada yang ditahan adalah remaja dibawah umur.

Kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat AADK Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.