Kegembiraan seorang remaja tingkatan dua menyertai aktiviti perkelahan keluarga berakhir tragedi apabila dia ditemukan lemas selepas mandi di pantai berhampiran sebuah hotel di Batu 4 1/2 Jalan Pantai, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang Mohd Kamal Mohd Timar berkata Azmier Azhar, 14, berasal dari Petaling Jaya, Selangor, dikatakan hilang daripada pelampung ketika sedang mandi bersama abangnya di pantai berkenaan.

Berikutan laporan kehilangan mangsa yang dibuat orang awam pada 12.30 tengah hari, 15 anggota termasuk empat pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang telah ke lokasi kejadian dan mayat mangsa berjaya ditemukan pada 1.35 tengah hari, iaitu 100 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang, katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.

Mohd Kamal berkata Azmier disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Port Dickson (HPD) di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke HPD dan kes diserahkan kepada polis bagi siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

-- BERNAMA