Bekas Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Kerajaan Persekutuan sejurus sebelum Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 dibaca di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Ambiga, rang undang-undang itu bakal memberi kesan buruk kepada rakyat Malaysia.

"Kami membantah cara ia digegaskan dan kesan rang undang-undang ini yang dikenakan memerlukan pertimbangan yang lebih lanjut," katanya merujuk kepada apa yang dinyatakan dalam memorandum itu.

Memorandum Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia (HAKAM) itu turut menyatakan, beberapa kumpulan masyarakat sivil mendesak semua ahli Parlimen untuk membantah rang undang-undang itu.

"Kami mendesak rang undang-undang ini ditarik balik dengan serta-merta," kata memorandum itu.

Tambah mereka, peruntukan dalam rang undang-undang itu bertentangan dengan prinsip demokrasi dalam Negara.

Rang Undang-Undang ini mula dibacakan sekitar jam 4.30 petang hari ini.

Antara isi kandungannya termasuklah Perdana Menteri diberikan kuasa tanpa had mengisytiharkan mana-mana saja kawasan di Malaysia sebagai "kawasan keselamatan".

Selain itu, turut diperuntukkan bahawa Perdana Menteri, tanpa sebarang perundingan boleh melanjutkan tempoh pengisytiharan seberapa kali apabila dirasakan perlu.

Sementara itu, Rang Undang-Undang terbabit disifatkan sebagai bertentangan dengan perlembagaan kerana ia dikatakan secara tidak langsungnya mengambil alih kuasa Yang diPertua Agong.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dari DAP berkata peruntukan sebegini tidak boleh dibenarkan untuk diluluskan di Dewan Rakyat.

"Kita harus memahami masalah di hadapan kita ketika ini. Saya ingin memperjelaskan pendirian saya berhubung perkara ini.

"Saya setuju dengan Menteri bahawa Negara perlu dilindungi dari anasir-anasir luar yang bahaya namun peruntukan ini sudah termaktub dalam perlembagaan," jelas Gobind ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat petang ini.

Tambah beliau lagi, kuasa sebegini besar tidak boleh diberi kepada individu yang memegang jawatan Perdana Menteri tetapi ia harus diberi kepada Yang diPertuan Agong.