Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed menyeru agar rakyat harus faham bahawa tempoh setahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan belum mencukupi untuk melakukan banyak perkara dan menyelesaikan semua masalah.

Tetapi dalam masa yang sama juga kerajaan harus sedar bahawa sebagai rakyat mereka ingin melihat hasil perubahan yang diimpikan secepat mungkin.

Justeru itu barisan pemimpin dalam kerajaan sedia ada perlu bekerja lebih kuat dan terus menyelami permasalahan rakyat.

“Ada benda-benda (perkara) yang sudah dilaksanakan, dalam soal integriti umpamanya, pencapaian di Parlimen misalnya. Saya menyaksikan perubahan-perubahan yang berlaku.

"Ada juga janji-janji PH yang sudahpun ditunaikan walaupun bukan sepenuhnya. Tapi tentunya masih ada lagi yang belum ditunaikan," katanya ketika ditanya Astro AWANI mengenai pandangan beliau terhadap prestasi menteri Kabinet PH menjelang setahun pemerintahan mereka.

Apa yang penting jelasnya adalah kesungguhan kerajaan sekarang dalam melaksanakan beberapa janji yang telah diberikan sebelum ini.