Kesemua 274 rakyat Malaysia yang terkandas di India akibat sekatan kemasukan yang dikuat kuasa oleh negara itu akan dibawa pulang ke tanah air menaiki pesawat khas dalam masa terdekat.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan memberitahu, kesemua kos untuk membawa pulang mereka katanya, akan ditanggung oleh MIC dan beberapa usahawan.

"Pada masa yang sama, kita juga telah menyediakan penginapan kepada mereka sementara menunggu persiapan kerajaan Malaysia untuk membawa mereka pulang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Rabu.

Difahamkan sehingga pukul 9 pagi ini, seramai 150 rakyat Malaysia dilaporkan berada di Tiruchirappalli, Delhi (73 orang), Chennai (50 orang) dan seorang di Mumbai, terkandas di negara itu.

Sebelum ini, kerajaan India mengeluarkan perintah sekatan kemasukan kepada semua pelancong dari Malaysia, Filipina, Afganistan, United Kingdom, Turki dan Eropah sehingga hujung bulan Mac.

Ekoran itu, Saravanan meminta mereka yang terkandas dan ahli keluarga mereka di Malaysia supaya tidak panik.

Seorang rakyat Malaysia di India, yang enggan namanya didedahkan memberitahu, mereka dijadualkan pulang ke Malaysia pada Rabu.

Pun begitu katanya, nasib mereka masih menjadi tanda tanya apabila dimaklumkan penerbangan mereka dibatalkan.

"Saya telah beberapa kali menghubungi syarikat penerbangan sebelum kami terbang dan dimaklumkan tidak akan timbul sebarang masalah untuk pulang meskipun India melakukan penggantungan visa kepada semua pelancong asing bermula 14 Mac lalu," katanya yang ke negara itu pada 13 Mac lalu.

Dalam hal ini katanya, syarikat penerbangan terbabit sepatutnya bertanggungjawab dan tidak boleh 'cuci tangan'.

Selain itu katanya, bagi memudahkan komunikasi sesama mereka yang terkandas, kesemua wakil ahli keluarga telah menyertai kumpulan media sosial Whatsapp.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Kedutaan Malaysia di Chennai, India atas bantuan yang diberikan.

Seorang lagi, rakyat Malaysia yang terkandas, S. Ramesh Rao Subramaniam memberitahu, mereka dari sekumpulan enam orang ke India pada minggu lalu sebelum dimaklumkan penerbangan mereka tergendala.

"Kedutaan Malaysia di Chennai menasihati kami untuk mengambil penerbangan ke Bangkok dan kemudian ke Malaysia atau ke Singapura untuk pulang," jelasnya.

Sejak Selasa, sebuah klip video berdurasi 2 minit 50 saat yang memaparkan sekumpulan rakyat Malaysia melakukan bantahan di sebuah lapangan terbang dipercayai Lapangan Terbang Antarabangsa Tiruchirappalli, tersebar di media sosial.

Turut kelihatan, seorang lelaki berpakaian seragam yang didengar memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia menghentikan semua penerbangan masuk ke negara itu.

Bagaimanapun, salah seorang rakyat Malaysia yang terkandas itu memaklumkan mereka yang sepatutnya menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia pada 13 Mac lalu sebelum dimaklumkan yang penerbangan mereka ditunda ke 15 Mac dan kemudian kepada 17 Mac.

Selain itu, mereka juga mendakwa, berikutan memegang pasport Malaysia, mereka tidak dibenarkan mendaftar masuk ke mana-mana hotel yang menyebabkan kumpulan itu terkandas di lapangan terbang berkenaan.

Setakat Selasa, 142 kes COVID-19 dilaporkan di India dengan tiga kematian.