Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara hanya membayar kira-kira 44 peratus daripada kos sebenar kuarantin wajib di pusat kuarantin berbanding warga asing yang dikenakan bayaran penuh.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, baki 56 peratus kos berkenaan ditanggung oleh kerajaan, sekali gus menunjukkan rakyat Malaysia masih mendapat keistimewaan.

"Bagi warga asing, kuarantin wajib 14 hari... mereka perlu tanggung sepenuhnya kos kuarantin termasuk ujian saringan COVID-19.

"Bagi rakyat Malaysia, walaupun perlu tanggung kos untuk kuarantin di pusat kuarantin, namun sebenarnya mereka hanya membayar 44 peratus daripada kos sebenar," katanya dalam sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen di sini pada Isnin.

Ujarnya, sejak 24 Julai 2020, semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warganegara asing mengikut kategori dibenarkan masuk ke Malaysia perlu menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di Stesen Kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

Sehingga kini, seramai 1,448 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di enam hotel dan tiga Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala
Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor.

"Mereka telah pulang dari 19 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, China dan Australia.

"Keputusan untuk membuka semula Stesen Kuarantin untuk proses kuarantin wajib 14 hari diambil kerana peningkatan kes import dan risiko penularan jangkitan COVID-19 akibat ketidakpatuhan SOP home quarantine," ujarnya.


Dalam pada itu, orang ramai diminta untuk melaporkan kepada PDRM sekiranya melihat individu memakai gelang tangan kuarantin keluar di tempat awam.

"PDRM akan mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab dan mereka boleh dikenakan tindakan kompaun RM1,000 ataupun didakwa di mahkamah, selain boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan.

Malah, katanya bermula hari ini, PDRM akan mengambil tindakan untuk menangkap dan mendakwa sebahagian daripada 2,897 individu yang masih belum tampil untuk melakukan ujian saringan kedua.