kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memberitahu, seorang rakyat Malaysia terkandas di Quito, Ecuador susulan dari keengganan beliau untuk membawa 'barangan' untuk diseludup ke Malaysia.

Muhammad Fariz R. Azli, 24, telah berada di Guayaguil selama hampir sebulan setengah sebelum menghubungi pihak Kedutaan Besar melalui saluran Facebook Kedutaan Besar pada 26 Disember 2016.

Perkara itu sekarang dikendalikan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Santiago, Chile yang juga diakreditasi ke Ecuador.

"Beliau yang berasal dari Pahang, menjelaskan bahawa beliau ke Guayaquil, Ecuador atas urusan kerja. Semasa perjalanan pulang ke Malaysia, beliau telah diminta untuk membawa 'barangan' yang disyaki untuk diseludup masuk ke Malaysia.

"Berikutan keengganan beliau untuk memenuhi permintaan tersebut, beliau telah ditinggalkan di Guayaquil," ujar kenyataan tersebut.

Dalam hal berkenaan, pihak Kedutaan Besar telah mengambil tindakan segera dengan menghubungi Konsul Kehormat Malaysia di Eduacor bagi menyalurkan bantuan konsular segera dengan memberi duit poket dan tiket penerbangan dari Guayaquil ke Quito kerana beliau telah mempunyai tiket untuk pulang ke Malaysia bertarikh pada 28 Disember 2016 dari Quito.

Walau bagaimanapun, tiket tersebut didapati palsu dan telah mengakibatkan beliau kini terkandas di Quito.

"Pihak Kedutaan Besar selanjutnya telah menghubungi ayah kepada Muhammad Fariz bagi memaklumkan kejadian tersebut dan sedang dalam usaha membeli tiket penerbangan pulang ke Malaysia.

"Buat masa ini, beliau tinggal bersama keluarga yang dikenali oleh Kedutaan Besar sehingga beliau memperolehi tiket pulang ke Malaysia. Bantuan ini dihulurkan melalui ikhtiar dan inisiatif Kedutaan Besar sendiri," kata kenyataan itu lagi.

Kedutaan Besar juga mengingatkan dan menasihatkan supaya rakyat Malaysia yang ingin ke luar negeri atas tujuan melancong mahu pun atas urusan kerja hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada terutamanya, apabila ditawarkan tiket percuma dan ganjaran lumayan oleh pihak tertentu yang menjalankan sindiket penyeludupan.

Rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya memaklumkan kepada ahli keluarga atau rakan karib apabila ingin melancong ke luar negara. Bagi rakyat Malaysia yang mempunyai urusan kerja bagi tempoh yang singkat atau pun panjang juga dinasihatkan untuk berbuat demikian dan mendaftar dengan Pejabat Perwakilan Malaysia yang terdekat.