Rakyat Malaysia di Yaman berada dalam keadaan selamat dan Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Oman sedang giat menghubungi mereka susulan situasi tidak menentu di negara itu.

Media antarabangsa hari ini melaporkan gabungan diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas sebuah pasar di Yaman yang menyebabkan 25 orang terbunuh.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata ia sedang memantau perkembangan terkini di Yaman, khususnya di Sana'a.


"Semua rakyat Malaysia yang berada di Yaman dinasihatkan untuk berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, sekiranya masih belum berbuat demikian.

"Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan atau maklumat lanjut boleh menghubungi kedutaan itu," menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut mengsyorkan rakyat negara ini untuk menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak penting ke Yaman susulan situasi semasa di negara tersebut.

-- BERNAMA