Kemudahan mengundi melalui pos bagi warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara selain pengundi tidak hadir akan dilaksanakan dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata ia adalah selaras dengan syor Jawatankuasa Pilihan Khas berhubung dengan penambahbaikan proses pilihan raya supaya warganegara yang tinggal di luar negara selain pengundi tidak hadir diberikan kemudahan mengundi melalui pos.

Bagi membolehkan kemudahan itu dilaksanakan, SPR sedang memuktamadkan penetapan dasar, perancangan logistik, tenaga kerja dan urusan peruntukan kewangan sebelum pindaan kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 dibuat, katanya.

"Setelah peraturan itu dimuktamadkan, SPR akan menetapkan tarikh kuat kuasanya dan seterusnya dikemukakan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Selesai urusan tersebut, peraturan itu akan diwartakan dan barulah dibentangkan di dalam Dewan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamaruddin menjelaskan walaupun Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat telah tamat bersidang pada 29 Nov dan peraturan baru itu tidak sempat dibentangkan, ia tidak bermakna peraturan itu tidak boleh dikuatkuasakan dalam PRU-13 kelak.

"SPR akan memastikan tarikh kuat kuasa peraturan baru ini ditetapkan pada tarikh yang membolehkan ia diguna pakai dalam PRU-13.

"Pembentangan peraturan itu di dalam Dewan Rakyat menurut Seksyen 17 Akta Pilihan Raya 1958 adalah kehendak undang-undang dan setelah urusan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong, penetapan tarikh kuat kuasa dan pewartaan peraturan itu dapat diselesaikan," katanya.

Dengan berkuatkuasanya peraturan tersebut, rakyat Malaysia yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh SPR adalah layak mengundi melalui pos.