Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara membayar maksimum RM2,100 (44.7 peratus) daripada RM4,700 jumlah kos kuarantin wajib 14 hari untuk caj bilik hotel dan makan tiga kali sehari.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, baki kos RM2,600 (55.3 peratus) pula ditanggung kerajaan.

"Kos ditanggung kerajaan termasuk pengangkutan dari pintu masuk sempadan ke stesen kuarantin, kos makan minum serta peralatan PPE petugas kesihatan, keselamatan dan sekretariat serta kos pembersihan dan decontamination di stesen kuarantin," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bermula 24 Julai lalu, kerajaan telah memutuskan supaya semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warganegara asing yang dibenarkan masuk ke Malaysia perlu menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di Stesen Kuarantin yang ditetapkan.

Dalam pada itu, semalam, PDRM telah melakukan 1,776 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

"PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu tebabit bagi memastikan SOP dipatuhi," tambahnya.

Sejak 24 Julai sehingga 27 Julai 2020, 1,631 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 9 Stesen Kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor.

Mereka pulang dari 22 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, UK, Belanda Australia.