Seorang rakyat Indonesia dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki dengan dua rakannya tenggelam dalam insiden di Batang Suai, Batu Niah berhampiran Kampung Iran di sini pagi tadi.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10.11 pagi dan segera mengatur gerak sebuah jentera dan sebuah bot dengan kekuatan enam anggota untuk mengaktifkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR).

“Insiden dipercayai berlaku ketika mangsa dan rakannya sedang mengangkut muatan kelapa sawit menuju ke sebuah kilang pemprosesan yang terletak berdekatan.

“Tiba di lokasi kejadian, bot yang dinaiki mereka tenggelam," katanya.

Gerakan SAR sedang dilaksanakan di Batang Suai, Niah untuk mencari rakyat Indonesia yang dikhuatiri lemas. – Gambar ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak.

Dua rakan mangsa katanya, bagaimanapun sempat diselamatkan oleh beberapa orang awam yang kebetulan memancing di lokasi berdekatan.

Ketiga-tiga mangsa kata Poh Kiong lagi, merupakan warga Indonesia yang berusia di antara 30 ke 47 tahun.

“Mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Yanto Olin dan ketika ini aktiviti SAR masih dilakukan.

“Pasukan kita menggerakkan sebuah bot dan tiga anggota sedang melaksanakan pencarian permukaan, dengan dibantu dua bot milik penduduk dan enam sukarelawan,” katanya.

Sehingga jam 6 petang Ahad, pasukan SAR gagal menemui sebarang petunjuk.

Gerakan SAR sedang dilaksanakan di Batang Suai, Niah untuk mencari rakyat Indonesia yang dikhuatiri lemas. – Gambar ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak.