Rakyat di negara ini diseru untuk memperteguhkan iltizam bagi menjunjung kelima-lima prinsip Rukun Negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha itu mampu mengetepikan perbezaan dan persengketaan yang wujud dalam masyarakat di negara ini.

Justeru beliau berkata, pencapaian di masa lalu seharusnya menjadi panduan untuk mengharungi masa hadapan yang lebih mencabar.

“Ini adalah pencapaian kita, pencapaian saudara dan saudari semua yang sepatutnya kita banggakan.

“Maka hari ini, sempena sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara yang mempertautkan seluruh rakyat Malaysia dalam satu semangat dan nilai perpaduan yang jitu, marilah kita sama-sama memperteguhkan iltizam untuk terus menjunjung kelima-lima prinsip Rukun Negara,” kata beliau ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke - 50 Rukun Negara di sini pada Khamis.

Turut hadir Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, berkat kebijaksanaan dan kecekalan, rakyat pelbagai kaum di negara ini berjaya mengatasi segala halangan.

“Kita pupuk persefahaman dan perpaduan sesama kita, akhirnya perbezaan kaum, agama, wilayah dan status sosial tidak menjadi penghalang kepada kita semua untuk hidup secara aman dan harmoni,” kata beliau lagi.